Sekolah ini ditubuhkan pada 1930 dan dikenali sebagai ‘Government Trade School’. Pada peringkat awal penubuhannya, institusi ini hanya mengambil 28 orang pelajar sahaja. Tujuan penubuhannya ialah untuk mengisi tenaga kerja di Bengkel Pusat Kereta Api di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Mereka juga perlu menjalani latihan selama tiga tahun sebelum berkhidmat di bengkel tersebut. |
Pada tahun 1950, sekolah ini ditukarkan namanya kepada ‘Junior Technical Trade School’. Kursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Mekanikal, Amalan Bengkel Bata dan Kayu serta Kejuruteraan Elektrik dan Kimpalan. ‘Junior Trade School’ kemudiannya dinaikkan taraf kepada `Secondary Trade School’ pada 1 Januari 1963 dengan mengambil pelajar-pelajar lepasan tingkatan 3, di sekolah-sekolah akademik. Dua kursus baru telah diperkenalkan iaitu Automotif serta Servis Radio dan Televisyen. Bahasa perantaraan yang digunakan ialah Bahasa Inggeris. Subjek-subjek yang diajar ialah Sains Mekanikal, Sains Kejuruteraan, Sains Elektrik dan Sains Bangunan. Peralatan bengkel pula dibekalkan oleh Colombo Plan sehingga tahun 1970.
|
Sekali lagi nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Vokasional pada tahun 1968. Syarat minima kemasukan ialah pangkat S dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), tetapi mesti lulus Bahasa Malaysia dan mana-mana dua mata pelajaran lain, dan salah satu daripadanya ialah Matematik, Sains atau Seni Ketukangan.
|
Pada tahun 1991, Sekolah Menengah Vokasional, Ipoh menjadi perintis kepada dua aliran pendidikan iaitu Vokasional dan Kemahiran. Syarat minima kemasukan ialah pangkat A atau B dalam Sijil Rendah Pelajaran untuk aliran Vokasional manakala pangkat C atau S untuk aliran Kemahiran.
|
Pada 1 Januari 1997, sekolah ini sekali lagi dinaikkan taraf kepada Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, apabila menawarkan aliran-aliran teknikal selain aliran Vokasional dan Kemahiran.
|
Kini Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, Ipoh menawarkan satu lagi aliran teknikal iaitu Perdagangan, selain tujuh aliran Vokasional dan satu aliran Kemahiran iaitu Kursus Juruelektrik.
|